Julai 7, 2005
Terkenal sebagai wilayah yang menyimpan banyak sejarah peradaban agama Buddha, Nakhon Si Thammarat di Selatan Thailand turut didiami penduduk Islam. Imej menyingkap kehidupan masyarakat Islam di sana.
Walaupun jumlah penduduk Islam tidak sebesar di wilayah lain seperti Pattani, Yala dan Naratthiwat, Nakhon Si Thammarat, juga dikenali dengan namanya Ligor tetap mekar dengan pengamalan dan budaya Islam. Kedatangan Islam di wilayah Nakhon, yang bermaksud kota untuk raja ini, dikatakan berlaku sekitar pertengahan abad ke-19 namun ada juga pendapat mengatakan Islam bertapak lebih awal daripada itu, apabila pedagang Arab singgah ke wilayah itu kerana kedudukannya di Teluk Siam. Encik Abdul Razak Panaemalae, seorang pensyarah di Universiti Walailak di Nakhon Si Thammarat memberi gambaran penghidupan masyarakat Islam di sana.
Di Nakhon Si Thammarat ini penduduknya purata di wilayah hampir satu juta kemudian penduduk Muslimnya sekitar 100 ribu orang sahaja atau pun 7%. Apa yang saya lihat cara hidup mereka tidak jauh beza dengan orang Melayu di Pattani. Seperti orang-orang tua masih berkain sarong, berkopiah, berbaju Melayu… Kalau saya keluar dari kampus ini, di kedai kopi, seperti biasa, ada nasi dagang, nasi berlauk, kopi–o, teh-o, tapi mereka bercakap dalam bahasa Thai sahaja. Dan sebahagiannya pelaut, nelayan, balik ke rumah, pergi ke pasar menjual ikan. Itu keunikan orang Melayu di sini, dalam konteks negara Thai.
Sekilas penghidupan masyarakat Islam di wilayah Nakhon Si Thammarat. Selain mengekalkan budaya Melayu yang memang sinonim dengan penghidupan Islam di Selatan Thai, penyebaran agama di masjid dan institusi pendidikan tradisional seperti pondok menjadi ciri tetap di wilayah Nakhon.
Mempunyai masjid yang berdaftar 75 buah berdaftar dengan kerajaan di Bangkok. Tetapi yang tidak berdaftar, yang kecil-kecil masih banyak lagi. Dan di sini juga mempunyai beberapa buah pondok yang mengajar sistem pengajian Islam secara tradisional ada. Di antaranya pondok Bantan di mana bekas Tuan Guru Hj Ismail Kassim ialah ayah kepada Dr Surin Pitsuwan, mantan Menteri Luar Thai di Bantan(Dr Surin beragama Islam). Kemudian ada beberapa pondok lagi yang masih berfungsi dengan memberi pendidikan kepada penduduk-penduduk Melayu Islam di sekitar, antaranya paling menonjol, sebuah pondok, sekolah agama yang dulunya pondok tetapi sekarang telah berubah menjadi madrasah iaitu pondok Muniti Santitham Islam di lembah Cina, di tengah-tengah bandar Ligor, Nakhon.