
Julai 7, 2005
Terkenal sebagai wilayah yang menyimpan banyak sejarah peradaban agama Buddha, Nakhon Si Thammarat di Selatan Thailand turut didiami penduduk Islam. Imej menyingkap kehidupan masyarakat Islam di sana.
Walaupun jumlah penduduk Islam tidak sebesar di wilayah lain seperti Pattani, Yala dan Naratthiwat, Nakhon Si Thammarat, juga dikenali dengan namanya Ligor tetap mekar dengan pengamalan dan budaya Islam. Kedatangan Islam di wilayah Nakhon, yang bermaksud kota untuk raja ini, dikatakan berlaku sekitar pertengahan abad ke-19 namun ada juga pendapat mengatakan Islam bertapak lebih awal daripada itu, apabila pedagang Arab singgah ke wilayah itu kerana kedudukannya di Teluk Siam. Encik Abdul Razak Panaemalae, seorang pensyarah di Universiti Walailak di Nakhon Si Thammarat memberi gambaran penghidupan masyarakat Islam di sana.
Di Nakhon Si Thammarat ini penduduknya purata di wilayah hampir satu juta kemudian penduduk Muslimnya sekitar 100 ribu orang sahaja atau pun 7%. Apa yang saya lihat cara hidup mereka tidak jauh beza dengan orang Melayu di Pattani. Seperti orang-orang tua masih berkain sarong, berkopiah, berbaju Melayu… Kalau saya keluar dari kampus ini, di kedai kopi, seperti biasa, ada nasi dagang, nasi berlauk, kopi–o, teh-o, tapi mereka bercakap dalam bahasa Thai sahaja. Dan sebahagiannya pelaut, nelayan, balik ke rumah, pergi ke pasar menjual ikan. Itu keunikan orang Melayu di sini, dalam konteks negara Thai.
Sekilas penghidupan masyarakat Islam di wilayah Nakhon Si Thammarat. Selain mengekalkan budaya Melayu yang memang sinonim dengan penghidupan Islam di Selatan Thai, penyebaran agama di masjid dan institusi pendidikan tradisional seperti pondok menjadi ciri tetap di wilayah Nakhon.
Mempunyai masjid yang berdaftar 75 buah berdaftar dengan kerajaan di Bangkok. Tetapi yang tidak berdaftar, yang kecil-kecil masih banyak lagi. Dan di sini juga mempunyai beberapa buah pondok yang mengajar sistem pengajian Islam secara tradisional ada. Di antaranya pondok Bantan di mana bekas Tuan Guru Hj Ismail Kassim ialah ayah kepada Dr Surin Pitsuwan, mantan Menteri Luar Thai di Bantan(Dr Surin beragama Islam). Kemudian ada beberapa pondok lagi yang masih berfungsi dengan memberi pendidikan kepada penduduk-penduduk Melayu Islam di sekitar, antaranya paling menonjol, sebuah pondok, sekolah agama yang dulunya pondok tetapi sekarang telah berubah menjadi madrasah iaitu pondok Muniti Santitham Islam di lembah Cina, di tengah-tengah bandar Ligor, Nakhon.
Terdapat juga sebuah badan di peringkat wilayah yang antara peranannya, mendapat pandangan penduduk Muslim berkaitan isu-isu yang menjejas kehidupan beragama mereka. Encik Abdul Razak menjelaskan,
Ada badan dikenali dengan nama majlis agama Islam Nakhon Si Thammarat. Ini juga berfungsi untuk mengendalikan, menyelenggarakan hal ehwal tentang orang-orang Islam. Mereka inilah di antara memain peranan penting dalam menyebarkan agama Islam- Majlis agama Islam, sekolah agama – sekolah pondok tradisional dan sekolah moden. Dan ketiga adalah masjid. Ini antaranya fungsi yang memainkan peranan penting dalam hal ini.
Tidak banyak yang membezakan penghidupan Islam di Nakhon berbanding wilayah-wilayah majoriti Islam di selatan Thai. Dengan pergolakan yang sering mendapat perhatian dunia di kawasan itu beberapa tahun kebelakangan ini, apakah kesan yang sama turut dirasakan di Nakhon? Apakah berlaku ketegangan agama di antara penganut Islam dan Buddha? Encik Abdul Razak dengan pemerhatiannya.
Di Nakhon tidak timbul masalah tidak suka menyukai atau benci membenci tidak timbul... tapi apa yang saya ingin katakan apa yang disiarkan di media mengenai kejadian di Pattani, Naratthiwat sebagai satu titik saja dalam sebahagiaannya. Kalau kita membacara akhbar memang kita rasa dah berlaku ketegangan antara puak ataupun perkauman Melayu dan agama asing. Memang ada, potong kepala, tembak menembak tetapi itu sebahagian kecil sahaja. Tidak semuanya orang-orang Melayu di sana suka dengan perbuatan atau kejadian itu. Memang di sini Nakhon, orang Melayu walaupun beragama Islam tapi mereka adalah warga Thai yang mempunyai satu dasar kerajaan telah menetapkan bahawa orang Melayu – kerajaan tidak mempunyai policy untuk mengkhianati orang Melayu malah mereka menganggap itu adalah warga negara Thai keseluruhannya. Jadi tidak timbul perkara benci-membenci atau bias-membias. Faktor kedua kerana dalam agama orang Melayu dikenali sebagai berbudi-bahasa, dan agama Islam menekan bahawa kita sepatutnya kenal antara satu bangsa, rumpun, suku kaum – telah diajar dalam agama, ditanam sikap walaupun mereka tidak beragama Islam tetap juga rakan manusia di dunia ini yang patut kita beri penghormatan. Dua faktor penting yang menyebabkan orang Melayu di sini tidak terasa seperti mahu benci kepada saudara di satu wilayah.
Encik Abdul Razak Panaemalae, pensyarah di Universiti Walailak di wilayah Nakhon Si Thammarat, Selatan Thailand.
Nakhon Si Thammarat, wilayah lama di selatan Thailand yang kaya dengan kesan sejarah dan mercu tanda peradaban agama Buddha. Menariknya di sini juga berdiri masjid-masjid, pondok dan madrasah yang menjadi nadi penghidupan masyarakat Islam minoriti. Pada luarannya mungkin ini dilihat sebagai simbolik namun turut mencerminkan persefahaman antara agama yang telah lama wujud sejak berabad lama. Inilah yang mungkin harus diberi perhatian dalam kita mengawasi pergolakan yang berlaku di Selatan Thailand.
No comments:
Post a Comment